..::AHLAN WASAHLAN WAMARHABAN BIKUM::..

Selasa, 28 Julai 2009

Siapakah Sisters In Islam?(Part II)


2.0 Beberapa isu tentang salah faham dan penyelewengan terhadap ayat-ayat al-Qur’an.

a) Kesopanan dan Kesederhanaan Pakaian dalam Islam

Sisters In Islam di dalam perbincangan mengenai pakaian, mereka menegaskan ia berkaitan dengan konsep kesopanan dan kesederhanaan (modesty) , kesopanan dalam peradaban dan pakaian serta pakaian yang menutup kemaluan. Di dalam ayat 26, Surah al-A’raf menyebut tentang pakaian untuk menutup aurat dan perhiasan yang indah tetapi ia menegaskan bahawa “ pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya”

Seterusnya di dalam ayat 31 surah yang sama, Allah berfirman yang bermaksud : “Hai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu beribadat tetapi janganlah kamu melampaui batas”. Di dalam hal menutup tubuh badan kita, SIS berpendapat kesopanan yang dimaksudkan adalah supaya kita menutup segala yang aib yakni kemaluan kita yang tidak boleh sengaja didedahkan. Kedua-dua ayat ini bila difaham bersama menuntut supaya kita menutup keaiban kita. Tetapi apa yang lebih bermakna di sini ialah, bahawa al-Qur’an menekankan perihal pentingnya taqwa berbanding dengan kain yang menutupi tubuh kita, tidak kiralah betapa banyak atau kurang.


Al-Quran menunjukkan bahawa sifat kesederhanaan dan kesopanan seseorang timbul dari ketaqwaan, ia tidak boleh dipaksa sama ada dengan menutup ataupun mendedahkan aurat. Di dalam ayat 256, Surah al-Baqarah, menegaskan bahawa “tidak ada paksaan dalam agama”. Dalam tafsirnya, Abdullah Yusuf Ali menerangkan bagaimana agama bergantung atas iman dan kesanggupan, dan kedua-dua sifat ini tidak bermakna jika dipaksa. Didikan dan kesedaran sendiri dan bukannya paksaan ataupun undang-undang yang akan membawa kepada taqwa.

Hukum Tentang Aurat adalah Jelas dan Tegas

Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya al-Qur’an al-Azim menjelaskan bahawa yang dimaksudkan “pakaian taqwa itu yang lebih baik” di dalam ayat 26 surah al-A‘raf adalah iman (menurut pandangan al-Suddi dan Qatadah). Manakala Ibn Abbas pula berpandangan ia adalah amal salih. Sementara itu, Ikrimah menyatakan pakaian taqwa itu adalah pakaian yang dipakai oleh golongan al-Muttaqin pada hari kiamat. Manakala, menurut Abd al-Rahman Ibn Zaid Ibn Aslam yang dimaksudkan dengan pakaian taqwa itu adalah takut kepada Allah dengan menutup aurat. Ternyata pentafsiran yang dibuat oleh SIS tersasar.[1]

Berkaitan pentafsiran SIS terhadap ayat 31, Surah al-A’raf bahawasanya Allah menyatakan jangan kamu melampaui batas dalam berpakaian, ia juga tersasar kerana apa yang dinyatakan oleh Allah menurut Imam Ibn Kathir di dalam tafsir beliau ialah jangan membazir dan mengambil daripada sumber yang haram apabila kamu berpakaian.[2]

Mengenai dengan penyelewengan penafsiran mereka ini berdasarkan firman Allah:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنْ الغَيِّ

Ertinya: “ Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.”(Ayat 256, Surah al-Baqarah)

Penyelewengan penafsiran mereka mengenai dengan ayat ini adalah tidak berasas sama sekali, suatu penafsiran yang salah dan tidak ada kaitan langsung dengan masalah aurat wanita. Ayat tersebut “ tidak ada paksaan dalam agama“, sebenarnya berkaitan dengan Islam menyeru manusia supaya beriman kepada Allah Taala, walau bagaimanapun Islam tidak memaksa seseorang yang bukan Islam supaya memeluk agama Islam, mereka diberi kebebasan untuk beragama tetapi diwajibkan untuk membayar jizyah.[3]

Menyentuh tentang pemeliharaan aurat, Islam menetapkan suatu dasar yang tegas tanpa tunduk kepada tuntutan perasaan individu dalam masyarakat dan jauh sekali dari terpengaruh kepada situasi zaman yang sering merubah tabiat manusia. Tidak ada erti seseorang itu sanggup patuh kepada ajaran agama pada perkara-perkara yang sesuai dengan kehendak nafsunya dan menolak dengan mudah perkara yang tidak disenangi, walaupun ia sedar yang perbuatannya itu adalah salah di sisi Syarak.

Mereka yang bersikap demikian termasuk dalam golongan orang yang digambarkan dalam al-Qur’an sebagai:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Ertinya: “ Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan ingkar kepada sebahagian kitab yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat". (Ayat 85, Surah al-Baqarah)

Konsep ini boleh dikatakan konsep jahiliyyah moden selepas kedatangan Islam. Konsep ini telah dilihat oleh para sarjana dan mujaddid Islam tidak sekadar merujuk kepada faktor zaman, akan tetapi jahiliyyah yang dimaksudkan ialah faktor perlakuan dan peraturan yang bercanggah dengan ajaran Islam. Perhatikan firman Allah dalam surah al-Maidah:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنْ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ


Ertinya: “ Apakah hukum (peraturan) Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”.(Ayat 50, Surah al-Maidah)

Sayyid Qutb menekankan bahawa jahiliyyah adalah akibat berlakunya pengabdian manusia kepada sesama manusia dan juga berdasarkan penyelewengan dari hukum ciptaan Allah. Jahiliyyah juga adalah manifestasi daripada percanggahan di antara program perlakuan manusia dengan program fitrah yang dicipta oleh Allah.[4] Demikian juga Abu al-A‘la al-Maududi dan Sa‘id Hawa yang menyetujui bahawa jahiliyyah yang dikehendaki oleh istilah Islam merujuk kepada ciri-ciri pertentangannya dengan Islam sebagai al-Din (Sistem Hidup Islam).Firman Allah:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

Ertinya : “Dan tidak patut bagi lelaki dan wanita yang mukmin apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu ketetapan masih ada lagi bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.”


b) Penafsiran Sister in Islam dalam Surah al-Nur ayat 30-31.

Ayat-ayat Madinah yang diturunkan selepas itu, umumnya adalah lebih khusus dari segi penekanannya.Ini sebagai memenuhi keperluan dan keadaan tertentu yang berlaku dalam hidup Nabi saw dan ummah pertamanya. Pada zaman itu, ayat-ayat awal mengenai kesederhanaan dan kesopanan terkandung di dalam ayat 30-31, Surah al-Nur, di mana kedua-dua lelaki dan wanita digesa “menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka”. Ayat ini menggesa wanita supaya jangan mendedahkan kecantikan mereka selain dari apa yang dianggap sopan dan menyuruh wanita “menutup belahan leher bajunya dengan khimar (tudung kepala) mereka.

Tudung kepala atau khimar yang dimaksudkan ini dilihat oleh separuh para sarjana sebagai selendang perhiasan yang sering dipakai oleh wanita Arab zaman jahiliyyah yang dibiarkan meleret dibelakang mereka, sejajar dengan fesyen ketika itu, leher baju wanita begitu luas hingga mendedahkan dada mereka. Oleh yang demikian, perintah menutup belahan leher baju wanita dengan khimar tidak semestinya bermaksud penggunaan khimar itu sendiri. Tafsiran surah tersebut mengutarakan bahawa perintah berkenaan menjelaskan yang bahagian dada wanita tidak termasuk dalam bahagian badan, “yang zahir padanya” yang boleh didedahkan.

Mesej al-Qur’an tidak berniat menyekat manusia. Dalam memutuskan untuk menjadikan agama sebahagian dari kehidupan umum masyarakat (public life), tugas paling rumit bagi kita sekarang ialah bagaimana hendak membina kebolehan menyesuaikan iman kita untuk menangani cabaran-cabaran peralihan zaman dan keadaan. Adakah kita akan terus wujud sebagai satu bangsa yang muqallid(menganut secara membuta tuli)? Ini akan membawa kepada keruntuhan intelek dan kedangkalan yang berpanjangan.

Sebagai langkah yang pertama, kita mesti mengenali perbezaan di antara apa yang telah diwahyukan, kerana ia tidak boleh dipersoalkan, dengan apa yang terhasil dari usaha-usaha para pemikir cerdik pandai dan juga pengaruh adat resam kita yang sentiasa berubah dan tidak lagi sesuai diadaptasikan masa kini. Pendapat Majlis Fatwa atau pihak-pihak berkuasa agama adalah hanya usaha manusia mentafsir wahyu Tuhan yang tidak terbatas. Tafsiran inilah yang sepatutnya boleh kita perbahaskan dan dibincangkan.


Prinsip-prinsip Penentuan Aurat Dalam Islam

Islam mempunyai dasarnya yang tersendiri dalam mengatur dan menyusun masyarakat bagi mencapai kebahagiaan yang hakiki berteraskan hukum Allah yang Maha Bijaksana dan Adil. Untuk mencapai matlamat tersebut segala yang bersifat Maslahah ‘Ammah (Kepentingan Masyarakat) disusun dengan sebegitu rupa sehingga benar-benar mendatangkan kesan yang berfaedah kepada masyarakat yang mengamalkannya.

Menyentuh tentang pemeliharaan aurat, walaupun umumnya adalah lebih khusus dari segi penekanannya kepada ummah yang pertaman di zaman Nabi saw, ianya merupakan ketetapan syariat Islam yang wajib diamalkan oleh ummat Islam. Islam menetapkan suatu dasar yang tegas tanpa tunduk kepada tuntutan perasaan individu dalam masyarakat dan jauh sekali dari terpengaruh kepada situasi zaman yang sering merubah tabiat manusia yang wujud ketika itu. [5]


Di dalam surah al-Nur, Allah berfirman :

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ(30)وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنأَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوْ التَّابِعِين ( 31)َ َّ

Ertinya : " Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannnya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam atau budak-budak lelaki yang mereka miliki…..(Ayat 30-31, Surah al-Nur)

Ayat diatas mengandungi lima larangan seperti berikut :

1- Wanita Islam dilarang menonjol perhiasan diri seperti pakaian yang cantik menarik dengan berbagai fesyen, barang-barang kemas dan lain-lain alat perhiasan yang lazim dipakai oleh wanita sepertimana yang dilakukan oleh wanita di zaman jahiliyyyah.[6]
2- Melarang lelaki dan wanita yang beriman dari memandang perkara-perkara yang haram termasuk aurat golongan mereka yang berlainan jenis yang bukan mahramnya.
3- Mereka dilarang melakukan zina.
4- Wanita dilarang mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi dan dikehendaki memakai kain tudung kepala untuk menutup seluruh rambut dan tengkok. Kain tersebut hendaklah labuh hingga ke dada.Islam tidak membenarkan mendedahkannya melainkan dihadapan suami dan kaum keluarga yang terdekat.[7] Firman Allah:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمْ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Ertinya:” Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah yang terdahulu”. (Ayat 33, Surah al-Ahzab)

Walaupun ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri Nabi tetapi umumnya ditetapkan hukum kepada semua wanita-wanita Islam.[8]
5- Wanita dilarang berjalan menghentak kaki dengan tujuan didengari orang akan deringan gelang kaki yang dipakai.

Perintah pertama yang ditujukan kepada lelaki dan wanita Islam dalam ayat 30-31 dari surah al-Nur ialah merendahkan pandangan mata. Maksud merendahkan pandangan mata dalam konteks ayat ini ialah menjauhkan diri dari melakukan sesuatu yang digambarkan dalam sebuah hadith sebagai ‘zina mata’ yakni memandangkan kecantikan kecantikan tubuh badan wanita serta perhiasannya dengan perasaan ghairah.[9] Demikian juga pandangan wanita terhadap lelaki yang ajnabi dan bukan suaminya dengan syahwat ianya ditegah oleh Islam.[10]

Menurut al-Maraghi di dalam tafsirnya, bahawa Allah mendahului perintah membatas pandangan mata sebelum menjaga kemaluan kerana mata merupakan pengintip kepada hati. Oleh kerana pandangan mata merupakan wasilah kepada fitnah amali (perbuatan) maka Allah mengharamkan jalannya terlebih dahulu sebelum mengharamkan matlamatnya iaitu zina.[11]

Manakala Islam menyuruh wanita “menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala (khimar ) mereka. Yang dimaksudkan di sini mengikut pendapat Ibnu Kathir di dalam tafsirnya ialah hendaklah kamu tutup kepala, tengkuk serta dada kamu dengan tudung ke atas juyub( lubang yang dibuat pada pakaian sehingga mendedahkan sebahagian daripada dada wanita pada zaman jahiliyyah).

‘Allamah al-Naysaburi, beliau berkata di dalam tafsirnya Gharaib al-Quran, pada awal-awal zaman Islam, wanita-wanita sering keluar rumah mengikut adat kebiasaan mereka pada zaman Jahiliyyah, iaitu dengan memakai pakaian yang tiada cukup menutup aurat, dengan baju dan khimar (kain tudung), tanpa perbezaan antara perempuan merdeka dan perempuan hamba. Maka mereka dititah oleh Allah supaya memakai rida’, iaitu pakaian luar[12] dan khimar , menurut pendapat Ibnu Kathir iaitu kain tudung yang besar dan menutup kepala,[13] muka dan seluruh badan, itulah yang dimaksudkan dengan memakai jilbab.[14]


Dalam menafsirkan ayat 31 diatas dengan mengatakan bahawa dada wanita tidak termasuk dalam bahagian badan “ yang zahir padanya” yang boleh didedahkan adalah suatu pentafsiran yang salah dan tidak berasas sama sekali!. Ulama’ Islam berbeza pendapat dalam menafsirkan ayat tersebut.

Menurut pendapat al-Maududi : ( إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ) yang bermaksud: “Kecuali yang zahir daripadanya” menurut al-Maududi ialah perhiasan yang dipakai oleh wanita dan ternampak dengan sendiri tanpa disengajakan. [15] Menurut Hassan al-Basri ia adalah pakaian luar yang melindungi pakaian dalam. Manakala Ibn Abbas, Mujahid, ‘Ata’, Ibn ‘Umar, Sa‘id bin Jubair pula, mereka menafsirkan ayat tersebut dengan maksud muka dan tapak tangan. Menurut pendapat Qatadah maksud dengan perhiasan luar ialah seperti cincin dan gelang tangan. Islam mengharam perempuan mendedahkan perhiasan dirinya (perhiasan yang batin) seperti leher, rambut, telinga, dada dan lain-lain lagi dihadapan lelaki ajnabi. [16]

c) Aurat wanita

Ayat terakhir dalam surah al-Nur mengenai kesederhanaan pakaian, ialah ayat yang ke-60, membenarkan wanita “yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi” menanggalkan pakaian luar mereka tanpa bertujuan menayang kecantikan mereka. Surah al-Nur khususnya dari segi kesederhanaan pakaian mendefinasikan apakah dia bahagian tubuh yang mengaibkan dan tidak boleh didedah. Persamaan yang terdapat pada kesemua ayat-ayat di atas menggesa kesederhanaan peradaban dan pakaian.

Aurat Wanita Yang Sudah Lanjut Usia

Mengenai dengan kesederhanaan peradaban dan pakaian yang berkaitan dengan ayat di atas difahamkan disini bahawa Islam memberi kelonggaran khusus kepada wanita yang sudah lanjut usia, tetapi diperintahkan menutup aurat keatas golongan muda. [17]
Manakala wanita yang tidak dapat melahirkan anak lagi kerana usianya yang sudah lanjut atau disebut dalam al-Quran al-Qalaid min al-Nisa’, iaitu wanita yang sudah tidak berminat lagi untuk berkahwin atau tidak lagi diminati lelaki, tidak berdosa untuk menanggalkan pakaian luarnya seperti baju labuh dan jilbab yang menutup badannya menurut pendapat Ibnu Mas’ud[18], selagi tidak bermaksud bersolek dan menampakkan perhiasan yang wajib disembunyikan.[19] Mereka boleh berbuat demikian dengan syarat tidak memiliki kecantikan yang boleh menimbulkan syahwat. Namun begitu jika mereka mempunyai kecantikan, maka mereka ditegah berbuat demikian kerana ia boleh menimbulkan syahwat kepada orang yang melihatnya.

Hukum ini jelas dalam surah al-Nur, firman Allah:

وَالْقَوَاعِدُ مِنْ النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ(60)

Ertinya: “Mana-mana perempuan tua yang telah putus haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi, maka tidak ada salahnya mereka meninggalkan pakaian luarnya, tanpa bertujuan mendedahkan perhiasan. Namun jika mereka tetap mempertahankan penutupan aurat dengan lebih sempurna adalah lebih baik dan menjamin keselamatan mereka”.(Ayat 60, Surah al-Nur)

1.3.2. Perintah menutup aurat untuk golongan muda
Perintah ini dapat dilihat dalam al-Quran yang berbunyi:

يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Ertinya: “ Wahai Nabi! Suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan orang-orang perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya, semasa mereka keluar. Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal sebagai perempuan-perempuan yang baik”.(Ayat 59, Surah al-Ahzab)

Kita sudah sama-sama tahu bahawa isteri-isteri Nabi itu adalah merupakan teladan yang baik yang perlu dicontohi oleh wanita-wanita mukmin untuk setiap saat, dan di mana pun mereka berada. Mereka adalah orang mulia, darjat dan kedudukan mereka cukup tinggi.Walaupun ayat ini dikhususkan kepada isteri-isteri Nabi dan anak-anaknya tetapi ianya perlu di contohi oleh wanita-wanita yang beriman.[20]

Maksud (مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ) dalam ayat ini adalah suatu bentuk pakaian longgar yang menutup seluruh badan termasuk kepala.[21] Difahamkan perintah ini dikenakan kepada wanita-wanita yang masih muda, kerana bimbang keselamatan mereka diganggu lelaki yang tidak bermoral. Tidak benar, jika ada pendapat menyatakan Islam tidak mempercayai iman dan ketaqwaan lelaki, kerana iman adalah soal yang terlalu nisbi, samada lelaki atau wanita. Penutupan aurat adalah sebagai langkah percegahan sebelum sesuatu kejadian berlaku.[22]

Semua ahli tafsir sependapat dalam mentafsirkan ayat diatas:

1- Al-Imam Ibn Jarir al-Tabari ada menerangkan di dalam Tafsirnya pendapat beberapa orang ahli tafsir, berhubung dengan ayat ini. Menurut beliau, bahawa sebelum turunnya ayat ini wanita-wanita mendedahkan rambut mereka dan muka mereka ketika mereka keluar rumah mereka untuk sesuatu hajat. Pada zahirnya tiada perbezaan diantara wanita-wanita beriman yang beriman merdeka dengan wanita-wanita abdi. Maka Allah Taala menurunkan firmannya ini supaya dapat membezakan antara satu sama lain di dalam pakaian mereka apabila mereka keluar rumah untuk sesuatau hajat mereka. Maka disitulah wanita-wanita beriman yang merdeka mula memakai jilbab agar mereka tidak diganggu oleh lelaki-lelaki yang fasiq.[23]

Al-Imam al-Tabari selanjutnya menjelaskan bahawa sesetengah ahli tafsir pula mengatakan bahawa yang dikehendaki dengan “ jilbab” itu ialah melabuhkan jilbab itu dari atas kepala sampai ke dahi mereka, ini adalah bersandar kepada suatu keterangan lain dari Ibn Abbas . [24]

2- Pendapat ulama’-ulama’ Tafsir yang lain seperti al-Tabari, Ibn Kathir, Abu al-Su’ud,dan al-Jassas: Wanita-wanita muda diperintah menutup muka, rambut dan badan dengan jilbab ketika keluar untuk sesuatu hajat dari dilihat oleh lelaki ajnabi ketika keluar rumah supaya mereka tidak diapa-apakan.[25]

3- Pendapat al-Imam Fakhruddin al-Razi: Di zaman jahiliyyah, perempuan merdeka dan hamba dibenarkan memakai pakaian yang mendedahkan aurat menyebabkan mereka diekori oleh lelaki kerana menyangka mereka sebagai pelacur. Maka Allah memerintahkan supaya mereka memakai jilbab.[26]

Qaul Muktamad Tentang Aurat wanita

Berdasarkan perbandingan mazhab empat dan ulama’ Tafsir dalam hubungan dengan aurat perempuan merdeka, nisbah kepada pandangan lelaki ajnabi.
1- Ittifaq jumhur ulama’ mazhab empat: Mereka mengatakan semua badan , kecuali muka dan kedua tapak tangannya ketika keluar dari rumah, begitu juga dengan pendapat Dr. Abd al-Karim Zaidan[27], dengan syarat aman daripada fitnah. Jika mendedahkannya ditakuti boleh mendatangkan fitnah, maka wajib menutup kesemua badan. Bukan kerana ianya aurat, tetapi kerana menutup pintu fitnah dan fasad.
2- Ditambah oleh Hanbali dan Syafi’ie berdasarkan riwayat kedua dari mereka, mereka menyatakan semua badan tanpa kecuali. Inilah qawl yang paling sahih atau yang paling nyata atau muktamad, sebagaimana yang diterangkan oleh Ibnu Hajr al-Haythamiyy didalam al-Zawajir, al-Baydawi di dalam tafsirnya, dan lain-lain para ulama’ Shafi’iyyah.[28]

Perkara-perkara yang tidak boleh didedah dan mengaibkan

Larangan menunjukkan perhiasan diri ditujukan khusus kepada perempuan. Islam mengharamkan perempuan mendedahkan perhiasan dirinya seperti tengkok, rambut, telinga dada dan lain-lain lagi melainkan kepada mereka yang tersebut di bawah, antaranya:
1- Suami, bapa mertua, anak kandung, anak tiri, adik beradik dan anak saudara.
2- Kanak-kanak lelaki yang belum ada perasaan terhadap perempuan
3- Orang yang dalam milik iaitu hamba lelaki dan perempuan.
4- Wanita-wanita yang baik dari kalangan mereka iaitu wanita Islam yang mempunyai sopan santun yang tinggi.

Al-Quran melarang wanita Islam supaya jangan mempamerkan perhiasan diri mereka untuk tontonan lelaki ajnabi kecuali yang zahir daripadanya seperti mana yang telah diterangkan di atas.

Menurut pendapat Ibn Abbas, Mujahid, ‘Ata’,Ibnu ‘Umar, Sa‘id Ibn Jubir, Ibn Mas’ud dan lain-lain menafsirkan ayat tersebut sebagai maksud muka dan kedua-dua tapak tangan atau disebut sebagai perhiasan zahir dikecualikan daripada anggota badan yang wajib ditutup.[29] Perhiasan batin iaitu, telinga, leher, rambut, dada, dua lengan dan betis hanya harus dibuka ketika di rumah atau ketika berada di hadapan keluarga terdekat sahaja.

Pendapat sesetengah orang yang membenarkan wanita mendedahkan aurat dan sebahagian besar anggota badannya kepada umum, agak keterlaluan . Sumber-sumber tafsir dan hadith menyatakan pendedahan aurat itu adalah aksi kaum jahiliyah pada suatu ketika yang lalu dan ditolak oleh Islam.
[1] Abu Fida’ Isma‘il Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-Azim, Jil. 2, Juz 8, hlm. 193, Maktabah al-Manar, Jordan, 1990.
[2] Ibid, hlm. 195
[3] Muhammad Sulayman Al-Asyqar. Nafhatu al-‘Abir min Zubdah al-Tafsir.(1996)hlm.105.Dar al-Salam:Riyadh. Muhammad ‘Ali al-Sabuni, Safwah al-Tafasir (1981),hlm.163, Dar al-Quran al-Karim: Beirut.
[4] Sayyid Qutb, Pertunjuk Sepanjang Jalan, terjemahan Salahuddin Abdullah,hlm.42-43. Al-Ikhwan Enterprise(1979).
[5] Othman H.I., Aurat Dalam Islam, hlm, 11. Pustaka Jiwa: Kuala Lumpur, 1985.
[6] Othman H.I.(1985), Ibid.11-13
[7] Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri, Aiysaru al-Tafasir li Kalam al-‘Ali al-Kabir.(1994), Jil.2, Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam: al-Madinah al-Munawwarah.
[8] Abd al-Karim Zaidan. al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah (1993) Muassasah al-Risalah.
[9] Othman H.I.(1985), op.cit 14
[10] Abu al-Fida’ Ismail Ibn Kathir, op.cit, hlm. 265, Jil.3.
[11]Ahmad Mustafa al-Maraghi (2001), terjemahan Muhammad Talib, hlm.4751, Jil.9, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, 2001, Othman H.I.(1985), Op.cit., hlm.14
[12] W.Muhammad Bin W.Muhammad, al-Hijab, hlm. 19-20, Pustaka Watan, Kuala Lumpur,1980.
[13] Muhammad ‘Ali al-Sabuni, Tafsir Ayat al-Ahkam (1993), hlm. 144, Jil.2, Dar al-Qalam al-‘Arabi: Halab.
[14] W.Muhammad Bin W.Muhammad(1980) Op.cit.19-20
[15] Mohd ‘Ali al-Sabuni, Tafsir Ayat al-Ahkam (1993), j,2. h.144. Dar al-Qalam al-‘Arabi: Halab,Othman H.I.(1985), op.cit,hlm.17-18
[16] Abu Fida’ Isma‘il Ibnu Kathir, op.cit. hlm. 266,Jil.3.
[17] Al-Maraghiy (2001), op.cit. hlm.4799.-
[18] Abu Fida’ Isma‘il Ibnu Kathir, op.cit. hlm.285.
[19] Dr. ‘Abd al-Aziz Bin Abd Allah al-Humaydi, Tafsir Ibnu ‘Abbas, wa Marwiyyatuhu fi al-Tafsir min Kutub al-Sunnah. Jil.2, hlm.665. Markaz al-Bahath al-‘Ilmi wa Ihya’ al-Turath al-Islami: Makkah al-Mukarramah.
[20] Dr.Wahbah al-Zuhayli (1989), hlm.106, Jil.22.Dar al-Fikr:Beirut- Dar al-Fikr:Damsyik., (terj.)Abdul Ghalib Ahmad Isa,Adab Seorang Muslimah (1990M), hlm.61. Pustaka Syuhada: Kuala Lumpur.
[21] Ibid, hlm. 107, Jil. 22.
[22] Dr. Abdul Hayei, Islam dan Manusia Jil.1. hlm.329, Zebra Edition Sdn Bhd : Kuala Lumpur, 1993.
[23] W.Muhammad Bin W.Muhammad ‘Ali, Op.cit., hlm.17
[24] Muhammad Ibn Jarir al-Tabari, Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayyi al-Qur’an, hlm. 158, Juz.18, cet.3, 1968, Maktabah Mustafa bi al-Misr
[25] Dr.Wahbah al-Zuhayli, op.cit. hlm. 110, Jil ,22.
[26] Othman H.I.(1985), op.cit, hlm.19
[27] Dr.Abd al-Karim Zaidan, Fiqh al-Islam wa Adillatuh, (terj.) Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 419
[28] ‘Abd al-Rahman al-Jaziriyy, Kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, Juz 1, al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, cet.3 (t.t) hlm. 188-193,dan Juz 5, hlm. 54-55: al-Alusiy, Tafsir Ruh al-Ma’ani, Juz xvii, Dar al-Turath al-“Arabi. Bayrut (t.t) h. 141. Al-Syawkani, Nayl al-Autar, Juz 2, Syarikah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabi wa Auladuh, Misr,(t.t) hlm. 68-78.
[29]Abu Muhammad al-Husayn Ibn Mas’ud al-Baghawi, Ma‘alim al-Tanzil, hlm. 34, Jil.6, .Dar Taybah:Riyadh, 1993.
sumber

0 ulasan:

Catat Ulasan

Terangi Hatimu Dengan Kalamullah