KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh) - Orang yang hidup bertanggunjawab menyelamatkan akidah pesakit Islam yang sedang menghadapi saat kematian.
Di saat 'sakratul maut' itu, pesakit yang sedang nazak, menghadapi ujian yang tidak dapat dilhat orang awam iaitu ketika syaitan bersusah payah menghasut dan mempengaruhi supaya pesakit mati di dalam keadaan kufur.
Justeru, mestilah sentiasa mengucapkan kalimah syahadah dan 'Allah' di tepi telinga pesakit secara bertenang dan berterusan, agar pesakit itu mampu untuk melafazkannya buat kali terakhir.
Demikian antara saranan pendakwah bebas Dr Azhar Yaacob ketika menyampaikan kuliah yang bertajuk "Pengurusan Pesakit Nazak-SakratulMaut" di pejabat Harakah tengah hari tadi, dekat sini.
Katanya ada tiga peringkat yang perlu dilakukan oleh orang awam, kaum keluarga dan rakan-rakan pesakit yang nazak iaitu membaca surah Yassin, memilih seseorang yang warak untuk membaca kalimah syahadah kepada pesakit dan membacakan doa daripada surah al-Imran daripada ayat 7 dan 8.
"Itulah saat yang paling getir, dimana malaikat dan syaitan 'bergelut' untuk memastikan pesakit mengikut pegangan. Jangan ada yang mencelah, sebab kita mahu pastikan pesakit mati di dalam Islam," katanya kepada warga kerja Harakah.
Selain itu, Dr Azhar juga turut memeri panduan dan tips yang betul dalam menyampaikan berita kematian kepada waris dan kaum keluarga yang terdekat agar ianya tidak mengundangkan masalah dan menjadikan situasi dalam keadaan panik dan mengejut.
"Sampaikan dengan cara penuh berseni dan bijaksana, supaya yang mendengar atau waris menerima berita itu dapat menerima kematian itu dengan penuh redha," katanya.
Selain itu, adalah sangat tidak digalakkan menunggu waris si mati untuk menunaikan tanggungjawab menyelenggarakan jenazah kerana ianya memakan masa yang lama dan tidak boleh ditangguh.
"Kita beri kadar 7 sehingga 8 jam untuk waris balik. Jangan tunggu sehari suntuk. Ini bukan untuk meraikan orang yang hidup tetapi menguruskan jenazah yang mempunyai 'agenda' untuk mengadap tuhan.
"Pastikan juga hutang-piutang si mati ini diselesaikan, sebaik-baiknya sebelum dikebumikan. Bayangkan orang syahid dalam perang, diterima terus ke syurga tanpa dihisab kecuali yang menghalangnya adalah hutang," katanya yang menamatkan kuliah kira-kira 1.30 petang.-azm_
0 ulasan:
Catat Ulasan