..::AHLAN WASAHLAN WAMARHABAN BIKUM::..

Khamis, 13 Ogos 2009

Asri Rabbani mati mengejut



KUALA LUMPUR, Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia di Hospital Pantai, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital berkenaan.

Menurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital swasta itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambah anggota Rabbani itu.

Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Difahamkan, jenazah beliau akan dibawa Bukit Lancong dekat Shah Alam selepas ini.

Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Asri, lahir pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor, menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota.

Beliau sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni.

Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.


Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nada Murni.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Terangi Hatimu Dengan Kalamullah