..::AHLAN WASAHLAN WAMARHABAN BIKUM::..

Selasa, 16 Jun 2009

Perginya Sebutir Mutiara Berharga Buat Umat Islam


Satu berita yang amat menyayukan hati seluruh umat islam di dunia. Kebelakangan ini dapat kita lihat seorang demi seorang ulama diangkat oleh Allah Subhanahu Wa Taala untuk menemuiNya. Pemergian mereka adalah kehilangan yang amat dirasakan oleh umat islam seluruhnya. 13 Jun 2009 berita kewafatan Ust Dr. Fathi Yakan tersebar seluruh dunia. Hati-hati para pendakwah islam gemuruh ada setengahnya mempersoalkan kebenaran dan kesahihan berita ini. Akhirnya setelah disahkan bahawa Ust Dr. Fathi Yakan telah menghembuskan nafas terakhir, jiwa-jiwa umat yang mengenali Al-Marhum samada pernah menemuinya ataupun mengenali ketajaman mata penanya menagis tersebak-sebak. Hati sayu dan berderu sejuk dan panas apabila mengenang jasa Al-Marhum yang begitu besar dalam menegakkan Islam, menyebarkan Islam, menyampaikan Islam ke seluruh dunia. Kini Beliau telah meninggalkan kita. Pemergiannya disifatkan satu musibah kepada umat islam. Antara sebab kehilangan ilmu adalah pemergian para alim ulama.


Imam Hasan Basri Menyebut :



مَوْتُ العَالِمِ ثَلْمَةٌ فِي الإِسلامِ لاَ يَسُدُّهاَ مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ


"Matinya seorang alim adalah suatu lubang dalam Islam. Tidak akan dapat di tutup selama-lamnya." (Hr Darimi 329 dan Baihaqi dlm Syu'abul Iman 1719)

14 Jun 2009 Jenazah Syeikh Dr Fathi Yakan pengasas Jamaah Islam (cawangan ikhwanul Muslimin) di Lubnan telah selamat dikebumikan di bandar Tarablas selatan Lubnan selepas solat asar. Jenazah beliau telah diiringi secara rasmi dan manusia dalam keadaan kesedihan memenuhi masjid Tinal (tempat jenazah disembahyangkan).

Diantara yang yang mengiringi jenazah beliau adalah wakil Presiden syria, ketua dewan rakyat Nabih Barri, pimpinan HAMAS Sami Khatir yang mewakili ketua Biro Politik HAMAS Khalid Masy'al, pimpinan pergerakan Jihad Islami Abu Imad ar-Rifaie, timbalan setiausaha agung Jemaah Islam Ibrahim Misti dan wakil dari Hizbullah.

Syeikh Malik as-Syiar yang mengimamkan jenazah beliau telah berkata:

إن طرابلس مدينة العلم والعلماء، ومعها العالم الإسلامي بأسره تودع رجلاً من كبارها وعلمًا من أعلامها رائد الحركة الإسلامية ومؤسسها، من أفنى عمره وحياته في سبيل الدعوة إلى الله عز وجل

"Sesungguhnya Tarablas adalah bandar ilmu dan ulama. Seluruh dunia Islam telah mengucapkan selamat tinggal kepada seorang tokoh dan panji Umat Islam. Beliau juga adalah pelopor dan pengasas bagi Gerakan Islam yang telah menghabiskan kehidupannya untuk berdakwah kepada Allah."

Latar Belakang Syeikh Dr. Fathi Yakan

Dr. Fathi Yakan telah dilahirkan pada 9 Februari / Syabat (kiraan bulanan kuno di negara Lubnan) 1933 di Tarablus Lubnan. Telah berjaya memperolehi Phd di dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab. Telapun berkahwin dengan Puan Dr. Mona Haddad Yakan dan telah dikurniakan 5 orang cahaya mata ( 4 perempuan dan 1 lelaki).

Beliau merupakan diantarakan tokoh gerakan Islam di Lubnan dan di dunia Islam bahkan beliau merupakan diantara pelopor yang mengasaskan gerakan Islam di Lubnan bersama-sama dengan lebih kurang 50 orang saudaranya yang lain sejurus selepas mereka menziarahi Dr. Mustafa As-Siba'ie Rahimahullahu di Syria.

Beliau telah menyumbang tenaga di dalam mempelopori fikrah gerakan Islam di dalam dunia Arab dan beliau juga telah menyebarkan risalah-risalah dan tulisan-tulisan yang berbentuk ideologi ke dunia Arab dan Islam sebagai panduan generasi-generasi kebangkitan Islam dan kebanyakan daripada tulisan-tulisan beliau telah diterjemahkan di dalam banyak bahasa. Di antara tulisannya yang terkenal adalah ماذا يعنى إنتمائى للإسلام (Apa ertinya saya menganut agama Islam), مشكلة الدعوة والداعية (Masalah yang berkaitan dengan Dakwah dan Pendakwah) dan banyak lagi.

Beliau juga pernah memenangi kerusi pada pilihanraya Lubnan pada tahun 1992. Beliau juga pernah menyertai Perhimpunan Islam Antarabangsa (International Islamic Conference).

Seorang Mujahid Dakwah, Ustaz Fathi Yakan, yang pernah berkunjung ke Negara kita, dalam rangka menghadiri Muktamar Agung PAS tahun 1997, telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS Haraki, iaitu istilah yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian harakah Islamiah di seluruh dunia.

Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau : Ihzaruu AIDS Al-Haraki (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki).

Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian.

Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).

Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.

Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua.

Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.

Ingatan demi Ingatan dari Syeikh Dr. Fathi Yakan tidak akan kami dilupakan. Irsyadat dan taujihat daripadanya samada dari percakapannya, perbuatannya dan penulisannya akan kami abadikan dalam kamus kehidupan sebagai role model di dalam dunia menyebarkan fikrah islamiah yang tulen.

Semoga Pemergian ini adalah kesedaran buat umat islam. Tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan dalam menengakkan syiar islam terpikul di bahu-bahu kita. Semoga Allah merahmati Syeikh Dr. Fathi Yakan dan berbahagia disamping Tuhan Rabbul ''Izzati.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Terangi Hatimu Dengan Kalamullah