DAKWAH DAN UJIAN
( الدعوة والمحنة )
Hidup manusia adalah penuh dengan ujian, dugaan, kesusahan, rintangan dan cubaan. Adalah mustahil bagi seseorang manusia dapat hidup tanpa menempuh ujian dan dugaan. Ini semua berlaku kepada manusia biasa. Bagaimana pula dengan para pendakwah dan pejuang Islam?
Tentulah mereka lebih banyak dan hebat ujian yang diterima. Setiap orang yang berjuang pada jalan Allah, berdakwah mengajak meninggalkan perkara-perkara yang disukai oleh hawa nafsu dan menerima ajaran Islam ; MAKA sudah tentu akan ditentang dan diperangi oleh golongan Taghut dan pendokong kebatilan. Mereka menjalankan amar makruf nahi mungkar akan ditentang oleh pendokong kemungkaran. Firman Allah,
وما نقموا منهم إلا أن يؤمنوا بالله العزيز الحميد
Maksudnya, “ Dan tidak mereka menyiksa mereka melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Mulia Lagi Maha Terpuji “.
Surah al-Buruj : 8.
Oleh yang demikian hidup pendokong gerakan Islam sentiasa dalam ujian, tekanan, fitnah dan dugaan yang tidak putus-putus. Apatah lagi gerakan dakwah Islamiyah menentang segala bentuk kezaliman dan maksiat, menentang Jahiliyah dalam semua bentuk dan corak samada kebudayaan, pemikiran, perlembagaan, sistem dan lain-lain.
Ujian dalam gerakan Islam dan dakwah Islamiyah juga merupakan suatu pengertian KHUSUS yang tidak terdapat dalam mana-mana gerakan yang tidak islamik. Malah Allah Ta’ala telah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa dakwah Islamiyah memakan masa dan penuh kesusahan. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 42,
لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا لاتبعوك ولكن بعدت عليهم الشقة ..
Maksudnya, “ Kalaulah ia (perjuangan Islam) merupakan habuan dunia yang dekat dan perjalanan yang senang (ditujui) dan pendek nescaya mereka akan mengikut engkau TETAPI perjalanan itu jauh dan penuh kesusahan”.
Berkata Imam Ibn al-Qayyim, “ Wahai mereka yang pondan keazamannya, jalan dakwah ini ialah jalan yang mana Nabi Adam telah penat, Nabi Nuh telah mengeluh (mengadu), Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api, Nabi Ismail disembelih, Nabi Zakariyya digergaji dan Nabi Yahya disembelih”.
UJIAN ADALAH SATU CARA DIDIKAN (TARBIYYAH)
Ujian dalam gerakan Islam dan dakwah adalah suatu cara yang penting UNTUK membina dan membentuk peribadi seseorang pejuang dan da’i, suatu asas pemilihan dalam pimpinan Islam; siapa yang tahan uji maka dialah yang layak memegang teraju pimpinan begitulah sebaliknya WALAUPUN mempunyai ijazah yang tinggi atau pandai berpidato,kerana dengan ujian akan lahirlah mereka yang kuat iman, dan juga dan juga mereka yang munafik,Firman Allah, >
Maksudnya ,Dan ada diantara manusia yang berkata,kami telah beriman dengan Allah,maka apabila di uji pada jalan Allah dia menganggap ujian dari manusia itu sama seperti azab dari Allah……….dan sesungguhnya Allah akan mengetahui mereka yang beriman dan mengetahui orang yang munafikin”.
- al-‘Ankabut : 11 - 15.
FirmanNya lagi:
ليميز الله الخبيث من الطيب
Maksudnya ,Supaya Allah dapat membeza yang baik dari yang buruk “.
- Surah al-Anfal : 37
Telah menjadi sunatullah bahawa kebenaran akan terus bertarung dengan kebatalan , apabila lahirnya sesuatu kebenaran maka turut lahirlah kepalsuan untuk menentangnya , dan untuk menutup dan menghancurkannya.Firman Allah dalam surah Al-Jin ayat 19,
وأنه لما قام عبدالله يدعوه كادوا يكونون عليه لبدا قل إنما أدعو ربى ولاأشرك به أحدا
Maksudnya ,’Dan sesungguhnya apabila bangun sesearang hamba Allah menjalankan dakwah,hampirlah mereka bermuafakat menentangnya .Katakanlah sesungguhnya aku menyembah tuhanku dan tidak aku syirik dengannya seseorang jua pun”.
dan firmanNya :
يريدون ليطفئوا نور الله بأفواههم والله متم نوره ولوكره الكافرون
Maksudnya,” Mereka bertujuan untuk memadam cahaya Ugama Allah dengan mulut mereka , pada hal Allah akan menyempurnakan cahaya ugamanya , walau dibenci oleh seluruh orang - orang kafir”
Sejak lahirnya para Rasul dan para pendakwah lagi pertarungan di antara mereka dan golongan pendukung parti Syaitan dan kebatilan wujud. Apabila Allah menjadikan Nabi Adam maka Iblis berusaha siang dan malam untuk menentang Nabi Adam ,Nabi Nuh ditentang kaumnya , anak dan isterinya , Nabi Ibrahim ditentang oleh Raja Namrud dan kaumnya , Nabi Musa ditentang oleh Firaun , Haman ,Qarun, Musa Samiriy , dan Bal’am bin Ba’ura .Nabi Muhammad ditentang oleh keluarganya dan musyrikin Makkah , sebab itulah Nabi Muhammad bersabda :
إن أشد الناس بلاء الأنبياء ثم الأمثال فالأمثال,,,, رواه الترمذى
Maksudnya, “Sesungguhnya manusia yang dahsyat ujian di antara manusia ialah Para Ambia’, kemudian orang yang yang hampir sama dengan mereka,”
dan sabdanya lagi,
إذا أراد الله بعبد خيرا عجل له العقوبة في الدنيا
رواه الترمذى والحاكم والبيهقى
Maksudnya:Apabila Allah mengehendaki dengan seseorang hamba akan kebajikan nescaya menyegerakan baginya siksaan di dunia.”
Sebab itulah seruluh Nabi dan Rasul mrnempuh berbagai - bagai ujian dan dugaan makin besar darjat kenabian dan kerasulan mereka makin besar pula ujian yang diterima dari Allah , begitu juga para pendakwah dan pejuang Islam yang mengikut jejak langkah mereka dengan baik.
Para sahabat Rasulullah diuji dengan dengan berbagai - bagai ujian. Khususnya para Muhajirin, sehingga Allah mencatit sejarah ujian mereka dalam Al - Quran, FirmanNya:
أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأساء والضراء وزلزلوا
حتى يقول الرسول والذين ءامنوا متى نصر الله ألا إن نصر الله قريب .. البقرة 214
Maksudnya,” Adakah kamu menyangka bahawa kamu dapat memasuki syurga , padahal belum datang kepada kamu contoh mereka - mereka yang sebelum kamu, mereka ditimpa kesusahan,kemiskinan dan bala petaka dan mereka digoncang dengan ujian, sehingga berkata para sahabat yang berada bersama - sama Rasulullah , bilakah pertolongan Allah datang ? Tidaklah pertolongan Allah itu hampir".
Para sahabat Rasulullah di zaman Makki diuji dengan berbagai - bagai ujian ada diantara mereka yang dibunuh, mereka diseksa, dipukul dan sebagainya. Sebagai contoh ;Khubaib Bin Adiy ditangkap dan diseksa kemudian dijual kepada seorang ketua kafir untuk dibunuh dan disula dan sebelum dibunuh beliau disula dan dipotong-potongkan anggotanya tetapi beliau tetap mengatakan لا إ له إلا الله محمد رسول الله hinggalah beliau mati dengan iman yang kuat.
Di zaman para Tabiin dan Al- Tabii tidak kurang juga ujian yangditerima oleh pendakwah dan alim ulama ‘ sebagai contoh :
· Said bin Jubair disembelih oleh Al - Hajaj bin Yusof Al Thaqafi
· Imam Abu Hanifah ditangkap dan diseksa
· Imam Al Shafei di tangkap
· Imam Ahmad Bin Hambal di tangkap , dipukul dan diseksa
Di zaman kerajaan Tartar dan di zaman berikutnya banyak para pendakwah, alim ulama’ tangkap , dipenjara dan diseksa ,termasuklah Iman Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim.
Di zaman moden ini ramai pendakwah dan pejuang Islam yang ditangkap dan diseksa serta dibunuh. Di antara mereka ialah Imam as-Syahid Hassan alBanna, Sayyid Qutb, as-Syahid Abdul Qadir ‘Audah dan lain-lain.
Dalam hal ini, Imam Hassan al-Banna menegaskan dalam bukunya, بين الأمس واليوم ;
“ Saya suka berterus terang kepada tuan-tuan sekalian bahawa sesungguhnya dakwah kamu ini masih belum dikenali oleh kebanyakan manusia. Dan di hari mereka dikenali dan diketahui tujuan serta matlamat perjuangan , kamu akan menerima tentangan yang paling hebat, permusuhan yang keras dan kamu akan berhadapan dengan kesusahan dan rintangan yang amat banyak, Dan di masa itulah kamu barulah mulai menjalani jalan-jalan para pendakwah.
Sekarang, kamu masih belum dikenali, kamu masih dalam peringkat merintis jalan dakwah serta masih dalam peringkat membuat persediaan untuk berjuang dan berjihad.
Kejahilan rakyat adalah menjadi batu penghalang yang besar di hadapan kamu Dan kamu akan jumpa di kalangan ahli agama Islam dan ulamak rasmi yang merasa pelik cara kamu memahami Islam serta mereka akan menafikan perjuangan kamu untuk membela ugama Islam. Dan kamu akan dapati seluruh pemimpin negara, ketua masyarakat dan mereka yang mempunyai kekuasaan dalam negara AKAN dengki dan memarahi kamu.
Dan seluruh kerajaan di dunia waktu itu akan bangun menentang secara bersama dan setiap kerajaan akan menghad dan menghalang keaktifan dan aktiviti-aktiviti kamu serta meletakkan batu penghalang di jalan-jalan kamu……mereka akan meminta bantuan dan kerjasama daripada kerajaan yang lemah dan orang yang tidak berakhlak mulia UNTUK menentang kamu. Dan semua mereka itu akan menimbulkan keraguan, kesamaran, kekeliruan dan tuduhan liar terhadap dakwah kamu.
Mereka akan meletakkan segala kelemahan dan kekurangan di atas dakwah kamu serta berusaha untuk mewujudkan/menjelaskan bahawa buruknya dakwah kamu kepada masyarakat umum DENGAN menggunakan kekuatan dan kekuasaan serta harta dan pengaruh mereka.
Firman Allah,
يريدون ليطفئوا نور الله بأفواههم والله متم نوره ولوكره الكافرون - الصف : 6
Maksudnya,” Mereka bertujuan untuk memadam cahaya Ugama Allah dengan mulut mereka , pada hal Allah akan menyempurnakan cahaya ugamanya , walau dibenci oleh seluruh orang - orang kafir”
Kamu dengan itu tidak syak-ragu lagi telah memasuki ke dal;am tahap percubaan dan ujian….kamu akan dipenjara, ditangkap, dipindah kerja, diburu, dirampas hartabenda mu, dibekukan segala kerja dan aktiviti kamu, rumah dan kediaman kamu akan digeledah Dan mungkin ujian dan dugaan ini lama dan panjang masanya. Firman Allah lagi,
أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا ءامنا وهم لايفتنون - العنكبوت 2
Maksudnya, “ Adakah manusia menyangka bahawa mereka ditinggalkan oleh kerana mereka berkata “ Kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji? “.
Malah Allah telah berjanji dengan kamu selepas itu bahawa ia akan memberi pertolongan kepada seluruh Mujahidin”.
JENIS-JENIS UJIAN
Ujian dalam dakwah Islamiyah amat banyak sekali,ada yang bercorak ujian rohani dan ada yang bercorak jasmani dan kebendaan.
Syed Qutb dalam kitab في ظلا ل القرآن telah menggariskan jenis - jenis ujian yang dihadapi oleh para pendakwah.
1. Penyeksaan dan perkara - perkara yang menyakitkan hati pendakwah yang datang dari pendokong - pendokong gerakan yang batil.
2. Ujian anak isteri, keluarga, dan kekasih yang mana pendakwah takutkan mereka itu diseksa dan diuji dengan sebabnya.
3. Ujian kekayaan dan habuan dunia datang melimpah kepada penyokong - penyokong kebatilan,sedangkan para pendakwah kosong dari habuan seperti itu.
4. Ujian merasakan dirinya dagang dan keseorangan dalam dakwah Islamiah sedangkan orang ramai tidak menyokong kebenaran dan dakwah Islamiah , malah mereka bermuafakat menentang dakwah Islamiah.
5. Ujian perpecahan umat dan negara Islam dan walaupun mereka berpecah dan melakukan maksiat mereka dapat hikmah dari Allah.
6. Ujian keatas nyawa.
7. Ujian tekanan hawa nafsu dan keinginan
8. Ujian tarikan hendak kekal di dunia ini.
9. Ujian berat tulang dan daging atau ujian malah bergerak untuk menjalankan dakwah Islamiah danberjuang kerana Islam.
10.Ujian rindukan kepada harta benda dunia , pangkat serta kekuasaan.
11.Ujian rindukan kepada kemewahan hidup di dunia dan tidak mahu bersusah payah.
12.Ujian susah hendak kekal di atas Istiqamah dan tetap pendirian di atas jalan Iman, kerana lambat kejayaan dapat dicapai.
CARA MENGATASI UJIAN
Pendakwah - pendakwah apabila diduga denganujian dan cabaran atau tekanan dan sebagainya hendaklah dia menghadapi dengan cara - cara berikut :
1. Sabar dan tetap pendirian dalam menghadapi cabaran dan ujian disamping mencari jalan yang diredhai Allah bagi mengatasinya.
2. Membanyakkan membaca Al - Quran dan Doa kepada Allah.
3. Mengingati bahawa umur dunia amatlah pendek dan tidak mengharap agar dunia ini sebagai syurga.
4. Mengingati bahawa sudah menjadi sunnah Allah kepada manusia dalam hidup dunia ini diuji dengan berbagai ujian.
5. Mengingati bahawa para Rasul dan Nabi lebih kuat ujian dan godaan dari kita.
6. Mengingati bahawa semua ujian atau bala yang dikenakan ke atas kita bukanlah merupakan lontaran sesat tetapi mengikut sunnah Allah qada’ dan qadar daarinya.
7. Mengingati bahawa dalam sesuatu ujian dan godaan yang terkena kepada kita memang dengan tujuan dan hikmat yang banyak dan mungkin boleh menguatkan iman dan dapat menghilangkan karat dosa.
8. Mengingati bahawa nyawa kita dan harta benda dan apa saja yang ada pada kita ini semua milik Allah yang diberi pinjam buat sementara waktu saja dan kita sekelian hamba tak lebih dari itu.
9. Mengingati bahawa setiap ujian dan bala yang menimpa kita di dunia ini akan diberi pahala yang besar sekiranya kita tahan uji dan sabar menghadapinya.
Mengingati bahawa setiap bala dan ujian di serata dunia ini walau bagaimana pun besar dan dasyat sekalipun, sekeliannya tidak dapat dibandingkan dengan siksaan Allah di akhirat Nanti.
disediakan oleh
Ustaz Hj. Mohd Daud Iraqi