..::AHLAN WASAHLAN WAMARHABAN BIKUM::..

Khamis, 16 Julai 2009

Peristiwa Isra'dan Mikraj

Pada setiap tahun umat Islam akan menyambut isra' dan mikraj, sudah pastinya sekarang ini atau mana-mana masjid kat malaysia nie dah banyak berkemundang ceramah-ceramah menarik mengenai Isra' dan mikraj, yang pastinya mengamit rasa keinginan kita masing-masing untuk memperbaharui imbasan ingatan kita mengenai peristiwa istimewa ini, sebagai pengajaran hidup buat kita yag bergelar muslim.

Kita akan menyambut tarikh berlakunya peristiwa tersebut pada 20 Julai 2009 ini, peristiwa ajaib itu berlaku pada 27 Rejab marilah kita sama-sama menghayati dan ambil pengajaran berguna daripada peristiwa ini.

“MAHA suci Allah yang telah menjalankan hambaNYA ( Nabi Muhammad saw ) pada suatu malam hari, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsha, yang telah Kami berkati sekelilingnya, kerana hendak Kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha melihat” ( maksud ayat 1, surah al-Isra’


Allah swt. telah mengisrakkan Nabi Muhammad saw. dari Masjid Haram di Makkah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin yang sangat jauh itu. Pada zaman dahulu, adalah menjadi perkara biasa orang berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat atau pun menunggang kuda, keldai, unta dan sebagainya.

Sekiranya mengikut jalan biasa, perjalanan dari Makkah ke Palestin mengambil masa lebih kurang 40 hari. Ia merupakan satu perjalanan yang jauh tetapi dengan kekuasaan Allah swt. perjalanan yang jauh itu dapat dilakukan dalam masa yang singkat yakni beberapa jam sahaja. Bagi mereka, perjalanan yang jauh itu jika dilakukan dalam tempoh beberapa jam sahaja merupakan satu perkara yang sangat mustahil dan tidak dapat diterima oleh akal mereka.

Bagi mereka, kenderaan seperti kuda, keldai, dan unta yang mereka tunggangi setiap hari tidak mungkin dapat melakukannya. Pada zaman yang serba maju sekarang, perkara tersebut bukanlah pula menjadi satu perkara yang pelik kerana sudah ada kenderaan laju seperti keretapi laju, jet, dan kapal terbang.

Sebab itulah, mereka yang tidak beriman seperti Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya menggunakan peristiwa tersebut untuk menjatuhkan Rasulullah saw. dengan menuduh Rasulullah saw. sebagai pendusta .

Namun demikian, mereka yang beriman dapat menerima kerana peristiwa tersebut merupakan salah satu daripada kekuasaan Allah swt yang telah pernah diberikannya kepada nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Contohnya nabi Isa a.s. yang dilahirkan tidak mempunyai ayah malah beliau dapat berkata-kata semasa bayi, dapat pula menyembuhkan orang sakit, dapat menghidupkan orang yang telah mati, dan sebagainya.

Begitu juga dengan nabi Musa a.s. dengan tongkat yang Allah swt. berikan kuasa telah menjelma menjadi ular yang besar sehingga menelan semua ular ahli sihir raja Firaun. Malah, nabi Musa dapat membelah lautan untuk pengikutnya menyelamatkan diri daripada bala tentera Firaun. Banyak lagi tanda-tanda kekuasaan dari Allah swt yang telah diberikan kepada para rasul yang disebut sebagai mukjizat, dan kepada hambaNYA yang soleh yang dikenali sebagai karamah.

Dalam perjalanan Israk dan Mikraj itu, nabi Muhammad saw. telah ditunjukkan berbagai contoh teladan yang berguna untuk umat manusia.Antaranya, telah ditunjukkan seorang tua yang tidak henti-henti menambahkan beban yang sedang dipikulnya walaupun dia sudah tidak mampu untuk membawanya. Kisah ini merujuk kepada seseorang yang memegang terlalu banyak pekerjaan yang menjadi tanggungjawabnya tetapi tidak ada satu pun yang ditunaikannya dengan baik. Sepatutnya seseorang itu hanya menerima tugas yang dia sanggup menyelesaikannya dengan baik sahaja, bukannya bersifat tamak atau ingin menunjuk-nunjuk untuk menjadi lebih popular.

Rasulullah saw. juga ditunjukkan seorang lelaki yang suka makan makanan yang telah tercemar, berbau busuk, sedangkan di sampingnya terdapat makanan yang bersih dan baik. Peristiwa ini digambarkan kepada seseorang lelaki yang suka berzina, isterinya sendiri tidak dipedulikannya malah menjadi kesukaannya untuk melanggani pelacur, sehingga akhirnya dia mengidap pelbagai penyakit seperti AIDS, siflis, dan pelbagai penyakit kelamin lagi sehingga menghancurkan institusi kekeluargaan.

Hasil daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang terbesar sekali ialah menerima tugas dan perintah dari Allah swt. untuk menunaikan ibadah Solat. Ibadah-ibadah yang lain seperti puasa, berzakat, menunaikan haji dan sebagainya disampaikan melalui wahyu yang diturunkan Allah swt. Sebaliknya, ibadah solat diterima langsung daripada Allah swt. Ini menunjukkan keistimewaan solat. Tidak ada alasan untuk kita meninggalkan solat. Jika kita sakit tidak mampu untuk berdiri maka dibolehkan duduk. Jika tidak dapat duduk maka diberi lagi kelonggaran secara berbaring, malah jika baring pun menghadapi masalah maka dibenarkan untuk melakukan dengan isyarat sahaja. Daripada aspek lain, jika air tidak ada maka dibolehkan berwuduk dengan bertayammum sahaja. Pendek kata, ibadah solat hendaklah ditunaikan walau dalam keadaan apa sekali pun dan di mana pun kita berada, kecuali timbul sesuatu halangan yang memang ditakdirkan oleh Allah swt. seperti tidak siuman, pengsan, tidak sedarkan diri, gila dan seumpamanya.

Dinyatakan bahawa sebelum menunaikan solat hendaklah kita membersihkan diri daripada najis dan mengambil air sembahyang, membersihkan tempat bersujud, dan mendirikan solat sepenuh hati dengan memberikan tumpuan seluruh jiwa dan raga kita hanya kepada Allah swt. Insyaallah, dengan amalan bersolat akan mendidik diri kita menjadi bersih, berdisiplin, dan menyihatkan rohani dan jasmani kita.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Terangi Hatimu Dengan Kalamullah